Kreatif: Baju Merah Baju Kuning
Oleh Hamidah Kamaruddin

2010/06/05

BAU masam. Bau hancing. Bau bacin. Bersemarak aroma keras berarak menerjah rongga. Hidung kembang kempis dihantui bau pering . Topi mengkuang membasah bubun-bubun ditanggal. Dikibas berulang-ulang. Berderu-deru angin menyerbu.
Menari-nari kemeja geloboh disentuh pawana. Nyaman. Dingin. Menusuk tulang-temulang. Macam dalam bilik aircond.

“Jah bos panggil. Bos nak jumpa.” Menyeringai lelaki putih pucat menunjukkan barisan gigi panjang-panjang. Supervisor dikenali pekerja kilang Mr Ma berlalu sambil mengusik beberapa gadis warga asing baru digaji mengisi jawatan operator pengeluaran. Terangkat kening menjeling kelibat Mr Ma. Sayup-sayup suara lelaki tambun itu masuk telinga. Gadis-gadis muda diusik Mr Ma merengek-rengek manja. Tubuh liuk-lentuk macam lengkung disentuh sudu.


‘Oooi Lijah, cepat, bos tunggu.” Suara tinggi Mr Ma meregang saraf Lijah. Kerut-merut jidat gadis. Kelat raut wajah dengar nama Lijah dipanggil membias retina.

“Cemburulah tu.” Lijah melontar prasangka terhadap rakan sekerja.
“Asyik-asyik minah seberang dapat habuan. Si Mia dua bulan jadi operator pengeluaran sudah pakai baju biru. Macam roket naik supervisor. Si Rosa tidak sampai sepurnama bekerja naik penyelia kanan.”
“Apa hal aku dah kutai di kilang.”
“Kali ini rezeki aku. Rezeki anak-anak.” Bibir mengepak senyum. Mata galak mengerling pekerja kilang berdiri tegak macam sojar mengutip sarung tangan bertali arus keluar corong mesin.

Lijah tahu Mr Ma bukan pandang orang lama. Mata sepet Mr Ma hanya pandang betik muda. Pilih yang jernih buang yang keruh. Itu kalkulus Mr Ma rekomen pekerja naik pangkat.

Bukan Lijah cemburu pun. Lijah sedar diri. Bukan ada personaliti. Bukan pandai merengek. Bukan pandai merengek-rengek manja. Jauh tersasar daripada kalkulus Mr Ma. Cuma Lijah pelik. Kilang sarung tangan pun main politik.

“Ahhh … biarkan … kalau sudah rezeki aku. Rezeki anak-anak ….” Belum sempat angan berkembang penuh, tapak tangan berisi surat bertinta merah.
“Mulai esok khidmat anda ditamatkan. Majikan ambil langkah jimat cermat. Pekerja dikurangkan.” Alasan majikan bisnes merudum.

Meroket darah Lijah. Harapan tambah gaji atau sekurang-kurangnya naik supervisor berkubur bersama suara serak basah Mr Ma mengusik pekerja shif malam.

Jari-jari kejar-mengejar melipat susun kertas akhbar sesetengah kuning kertang. Jari-jari sama terkitai-kitai menarik seluar panjang merosot pinggul. Sesusuk tubuh dibalut kemeja berpetak kecil coklat separuh tunduk. Segera hujung seluar ditarik lipat hingga pangkal lutut menampakkan buah betis berselirat urat biru.
Isyhhh … keras dengus memeranjatkan tubuh kurus.

“Mr Ma konyol.”
“Majikan wailol.”
“Lelah aku kutip sarung tangan.”
“Macam robot.”
“Macam penari rambung.”
“Macam sojar.”
“Sojar kawal musuh.”
“Aku kutip sarung tangan.”
“Alih-alih dapat pekerja baru, buang aku macam sampah.”

PUAS mencangkung. Lijah bangun. Basah jidat. Basah ketiak. Punggungnya bisa-bisa. Basikal berteman pokok ketapang menanti setia tuannya melambakkan barang penuh rangka.

Tempat pembuangan sampah seperti gedung menjual aneka jenis barang. Kotak kosong, tin-tin, botol-botol, barang elektrik, sofa, pakaian buruk melambak-lambak. Tilam saiz queen pun ada. Bungkusan plastik hitam putih biru merah jambu seperti perut perempuan bunting sembilan bulan. Bersepah-sepah dimuntahkan lori dua tan, tanpa segan-silu menimbun sampah-sarap.
Melilau mata Lijah. Bibir kering dibuka tutup.

“Rezeki di mana-mana. Dalam sampah pun ada rezeki”
“Selagi manusia hidup di muka bumi, selagi itu rezekinya tidak putus.”
“Manusia bertambah. Sampah pun bertambah.” Mudah kalkulus Lijah.
Tangan kiri menjepit kotak sabun dipenyekkan diapit bawah ketiak. Kotak bersaiz kecil besar diasing-asingkan.

“Ada tilam, sofa, kasut, baju. Barang baru tapi dah jadi sampah”
Terfikir di benak Lijah seputar nasib manusia dan sampah. Sama. Serupa.
“Barang baru kalau dibuang pun jadi sampah. Manusia tua renta. Disisih. Dibuang. Pun macam sampah. Bezanya sampah ada harga. Manusia tiada wang dipandang macam sampah. Sampah masyarakat.”

“Biar aku kutip sampah-sampah itu. Biar Kutimutik buat kira-kira”
“Biar tambi timbang. Biar tambi bayar ikut harga barang-barang itu.” Wajah gelap Kutimutik senyum nampak gigi kecil-kecil sambil tangannya menghulur dua tiga helai ringgit Malaysia dalam tapak tangan Lijah. Pernah Kutimutik hulur dua keping not merah.

“Harga aluminium naik. Harga kertas naik. Harga kotak naik.” Kutimutik senyum-senyum tengok muka Lijah. Berkilat kulit Kutimutik. Legam muka tambi. Gelap macam gerhana bulan. Gelap tapi manis. Jauh manis daripada muka bulat pucat Mr Ma. Ada barang ada duit. Itu kalkulus Kutimutik. Bukan macam Mr Ma pilih kasih pilih bulu.

Lijah bersemangat. Kudrat berbaki mesti diguna sebelum timbunan sampah depan mata diangkut pekerja seragam kelabu ke tapak pelupusan sampah. Jari-jari terus meraba-raba.

Raba kertas. Raba kotak. Raba tin kosong. Yang renyuk digosok-gosok. Yang basah dikirai kibas. Sambil duduk sambil merungkai bungkusan plastik hitam menimbun kiri, kanan, depan dan belakang. Karung dibawa dikendung seperti perut bayi kempis belum berisi. Lekas-lekas Lijah memanjangkan tangan mengutip barang-barang. Biar perut karung kembung dengan sampah yang boleh dijual pada Kutimutik.

Pagi-pagi sebelum mentari menyapa Lijah menghayun langkah menyorong basikal dari marhalah ke marhalah. Berhenti tempat-tempat pembuangan sampah. Mencari-cari barang berharga dalam timbunan sampah. Dalam raga buluh. Dalam tong. Dalam kotak. Semua diselongkar. Lijah sanggup buat kerja itu. Sanggup baju kertang. Sanggup seluar kertang. Sanggup tubuh kertang. Lijah sanggup demi kelangsungan hidup anak-anak.
“Biar mak cari rezeki.

“Tempat sampah bukan untuk anak-anak.”
“Biarpun ada barang berharga dalam timbunan sampah. Sampah tetap dipandang sampah.” Lijah berfalsafah.

Lijah terbayang gelagat anak. Nakal-nakal. Menghiburkan.
Pernah anak Lijah lanyak sofa dibawa pulang. Bergaduh adik-beradik atas sofa. Koyak rabak kain balut sofa. Lijah bawa balik bola. Berpusing-pusing anak keliling rumah kejar bola. Lijah tersengih memerhati kerenah anak-anak macam pemain bola Piala Dunia beraksi di stadium.

“Anak-anak tahu apa.”
“Main. Makan. Tidur.”
“Bahagia anak. Bahagia aku. Walaupun semakin bertambah anak bawa rezeki.”
“Rezeki di mana-mana. Dalam sampah pun ada rezeki.”

BAU masam, bau hancing, bau bacin semakin keras menusuk lubang hidung. Secalit pun tidak mematahkan semangat berapi-api. Hidung Lijah tercacak seperti hidung anak mami masih kembang kempis.

Lijah bukan keseorangan. Anjing-kucing-tikus berlumba-lumba memugah sisa makanan mengisi perut kerempeng. Menyodok tulang-temulang, cebisan roti hatta nasi basi.

Kerap kaki Lijah terpijak tikus sebesar lengan. Berdecit dihempap kaki kematu. Putih muka Lijah. Berhamburan air liur. Kumat-kamit mulut menyeranah tikus-tikus bertempiaran simpang-perinang.

Jidat Lijah tidak lagi berkerut. Mulut Lijah pun tidak menyumpah seranah lagi. Kehadiran haiwan di tempat pembuangan sampah tidak lagi dipedulikan.
“Kau pun macam aku. Berkelana cari rezeki.”

“Aku cari sampah. Jual. Dapat duit beli makan. Isi perut. Isi perut anak-anak.”

“Kau cari makanan isi perut. Kenyangkan perut anak-anak.”
“Di mana-mana rezeki. Rezeki kurniaan-Nya. Dalam sampah pun ada rezeki.” Redup mata Lijah memandang mata hijau kuning ibu. Teman setia sejak menghuni medan sampah itu.

Lijah tahu ibu sayang anak. Acap kali mulut ibu penuh tulang ayam. Susup-sasap masuk bangunan kosong. Bulat mata ibu. Pandang kiri kanan. Terpontang-panting ibu bawa makanan dalam mulut.

Dalam diam Lijah ikut.

Dari lubang melangkah keluar satu satu tubuh kecil. Berlumba-lumba. Comot-comot mendekati ibu. Berebut-rebut anak-anak pulun rezeki dibawa ibu. Habis ditelan. Ibu jilat bibir. Anak jilat bibir. Ibu jatuhkan badan. Anak-anak kemut puting ibu. Ibu jilat muka. Jilat badan. Jilat punggung anak-anak.
“Aku tahu kau pun sayangkan anak-anak”

Bunyi tapak kaki mengejutkan Lijah. Berderap-derap bunyi langkah. Tiga empat lima berhenti. Lijah mencangkung. Macam tunggul kayu.

Dari celah besi roda basikal Lijah nampak pasangan pucuk muda berjalan arah timbunan sampah-sarap. Teruna di depan. Terkengkang-kengkang dara di belakang macam sakit burut.

“Buang situ”.
“Campak jauh-jauh”
“Cepat-cepat.”

Lijah nampak dua bungkusan dilempar. Bedebub. Betul-betul jatuh dalam timbunan kertas. Bersesak-sesak pasangan muda beredar. Bunyi enjin motosikal penuh medan sampah.

Lijah bangun.

“Rezeki lagi.”

“Entah-entah barang berharga” Tangan Lijah ligat. Tali rafia mengikat dua plastik hitam dilerai. Tergolek benda dalam bungkusan. Baju kuning. Baju merah. Lembik. Basah. Berlendir. Berbintat-bintat perut, tangan, kaki. Lebam-lebam tubuh kudus berlilit tali pusat terpaku di retina

“Ya Tuhan. Bayi kembar.” Terjelepuk Lijah. Pecah empangan air mata membanjiri medan tempat pembuangan sampah. Wajah pucat bayi bergentayangan. Wajah comot anak bergentayangan. Kasih Lijah semakin menebal. Kasih Lijah semakin kejap walaupun anak-anak di rumah, cuma haiwan berkaki empat.

Biodata

HAMIDAH Kamaruddin lahir di Bentong, Pahang. Berpengalaman 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan penyuntingan. Menyertai akhbar The New Straits Times sebagai pemberita kadet pada 1981. Mula menulis genre cerpen dan novel selepas menyertai bengkel Kepezi 2002. Cinta Penyerahan Tragedi novel sulung ditulis bersama-sama sasterawan Zaharah Nawawi pada 2003. Kini menyiapkan beberapa manuskrip novel untuk penerbitan sendiri.