Cerpen: Baju Merah Baju Kuning

Kreatif: Baju Merah Baju Kuning
Oleh Hamidah Kamaruddin

2010/06/05

BAU masam. Bau hancing. Bau bacin. Bersemarak aroma keras berarak menerjah rongga. Hidung kembang kempis dihantui bau pering . Topi mengkuang membasah bubun-bubun ditanggal. Dikibas berulang-ulang. Berderu-deru angin menyerbu.
Menari-nari kemeja geloboh disentuh pawana. Nyaman. Dingin. Menusuk tulang-temulang. Macam dalam bilik aircond.

“Jah bos panggil. Bos nak jumpa.” Menyeringai lelaki putih pucat menunjukkan barisan gigi panjang-panjang. Supervisor dikenali pekerja kilang Mr Ma berlalu sambil mengusik beberapa gadis warga asing baru digaji mengisi jawatan operator pengeluaran. Terangkat kening menjeling kelibat Mr Ma. Sayup-sayup suara lelaki tambun itu masuk telinga. Gadis-gadis muda diusik Mr Ma merengek-rengek manja. Tubuh liuk-lentuk macam lengkung disentuh sudu.


‘Oooi Lijah, cepat, bos tunggu.” Suara tinggi Mr Ma meregang saraf Lijah. Kerut-merut jidat gadis. Kelat raut wajah dengar nama Lijah dipanggil membias retina.

“Cemburulah tu.” Lijah melontar prasangka terhadap rakan sekerja.
“Asyik-asyik minah seberang dapat habuan. Si Mia dua bulan jadi operator pengeluaran sudah pakai baju biru. Macam roket naik supervisor. Si Rosa tidak sampai sepurnama bekerja naik penyelia kanan.”
“Apa hal aku dah kutai di kilang.”
“Kali ini rezeki aku. Rezeki anak-anak.” Bibir mengepak senyum. Mata galak mengerling pekerja kilang berdiri tegak macam sojar mengutip sarung tangan bertali arus keluar corong mesin.

Lijah tahu Mr Ma bukan pandang orang lama. Mata sepet Mr Ma hanya pandang betik muda. Pilih yang jernih buang yang keruh. Itu kalkulus Mr Ma rekomen pekerja naik pangkat.

Bukan Lijah cemburu pun. Lijah sedar diri. Bukan ada personaliti. Bukan pandai merengek. Bukan pandai merengek-rengek manja. Jauh tersasar daripada kalkulus Mr Ma. Cuma Lijah pelik. Kilang sarung tangan pun main politik.

“Ahhh … biarkan … kalau sudah rezeki aku. Rezeki anak-anak ….” Belum sempat angan berkembang penuh, tapak tangan berisi surat bertinta merah.
“Mulai esok khidmat anda ditamatkan. Majikan ambil langkah jimat cermat. Pekerja dikurangkan.” Alasan majikan bisnes merudum.

Meroket darah Lijah. Harapan tambah gaji atau sekurang-kurangnya naik supervisor berkubur bersama suara serak basah Mr Ma mengusik pekerja shif malam.

Jari-jari kejar-mengejar melipat susun kertas akhbar sesetengah kuning kertang. Jari-jari sama terkitai-kitai menarik seluar panjang merosot pinggul. Sesusuk tubuh dibalut kemeja berpetak kecil coklat separuh tunduk. Segera hujung seluar ditarik lipat hingga pangkal lutut menampakkan buah betis berselirat urat biru.
Isyhhh … keras dengus memeranjatkan tubuh kurus.

“Mr Ma konyol.”
“Majikan wailol.”
“Lelah aku kutip sarung tangan.”
“Macam robot.”
“Macam penari rambung.”
“Macam sojar.”
“Sojar kawal musuh.”
“Aku kutip sarung tangan.”
“Alih-alih dapat pekerja baru, buang aku macam sampah.”

PUAS mencangkung. Lijah bangun. Basah jidat. Basah ketiak. Punggungnya bisa-bisa. Basikal berteman pokok ketapang menanti setia tuannya melambakkan barang penuh rangka.

Tempat pembuangan sampah seperti gedung menjual aneka jenis barang. Kotak kosong, tin-tin, botol-botol, barang elektrik, sofa, pakaian buruk melambak-lambak. Tilam saiz queen pun ada. Bungkusan plastik hitam putih biru merah jambu seperti perut perempuan bunting sembilan bulan. Bersepah-sepah dimuntahkan lori dua tan, tanpa segan-silu menimbun sampah-sarap.
Melilau mata Lijah. Bibir kering dibuka tutup.

“Rezeki di mana-mana. Dalam sampah pun ada rezeki”
“Selagi manusia hidup di muka bumi, selagi itu rezekinya tidak putus.”
“Manusia bertambah. Sampah pun bertambah.” Mudah kalkulus Lijah.
Tangan kiri menjepit kotak sabun dipenyekkan diapit bawah ketiak. Kotak bersaiz kecil besar diasing-asingkan.

“Ada tilam, sofa, kasut, baju. Barang baru tapi dah jadi sampah”
Terfikir di benak Lijah seputar nasib manusia dan sampah. Sama. Serupa.
“Barang baru kalau dibuang pun jadi sampah. Manusia tua renta. Disisih. Dibuang. Pun macam sampah. Bezanya sampah ada harga. Manusia tiada wang dipandang macam sampah. Sampah masyarakat.”

“Biar aku kutip sampah-sampah itu. Biar Kutimutik buat kira-kira”
“Biar tambi timbang. Biar tambi bayar ikut harga barang-barang itu.” Wajah gelap Kutimutik senyum nampak gigi kecil-kecil sambil tangannya menghulur dua tiga helai ringgit Malaysia dalam tapak tangan Lijah. Pernah Kutimutik hulur dua keping not merah.

“Harga aluminium naik. Harga kertas naik. Harga kotak naik.” Kutimutik senyum-senyum tengok muka Lijah. Berkilat kulit Kutimutik. Legam muka tambi. Gelap macam gerhana bulan. Gelap tapi manis. Jauh manis daripada muka bulat pucat Mr Ma. Ada barang ada duit. Itu kalkulus Kutimutik. Bukan macam Mr Ma pilih kasih pilih bulu.

Lijah bersemangat. Kudrat berbaki mesti diguna sebelum timbunan sampah depan mata diangkut pekerja seragam kelabu ke tapak pelupusan sampah. Jari-jari terus meraba-raba.

Raba kertas. Raba kotak. Raba tin kosong. Yang renyuk digosok-gosok. Yang basah dikirai kibas. Sambil duduk sambil merungkai bungkusan plastik hitam menimbun kiri, kanan, depan dan belakang. Karung dibawa dikendung seperti perut bayi kempis belum berisi. Lekas-lekas Lijah memanjangkan tangan mengutip barang-barang. Biar perut karung kembung dengan sampah yang boleh dijual pada Kutimutik.

Pagi-pagi sebelum mentari menyapa Lijah menghayun langkah menyorong basikal dari marhalah ke marhalah. Berhenti tempat-tempat pembuangan sampah. Mencari-cari barang berharga dalam timbunan sampah. Dalam raga buluh. Dalam tong. Dalam kotak. Semua diselongkar. Lijah sanggup buat kerja itu. Sanggup baju kertang. Sanggup seluar kertang. Sanggup tubuh kertang. Lijah sanggup demi kelangsungan hidup anak-anak.
“Biar mak cari rezeki.

“Tempat sampah bukan untuk anak-anak.”
“Biarpun ada barang berharga dalam timbunan sampah. Sampah tetap dipandang sampah.” Lijah berfalsafah.

Lijah terbayang gelagat anak. Nakal-nakal. Menghiburkan.
Pernah anak Lijah lanyak sofa dibawa pulang. Bergaduh adik-beradik atas sofa. Koyak rabak kain balut sofa. Lijah bawa balik bola. Berpusing-pusing anak keliling rumah kejar bola. Lijah tersengih memerhati kerenah anak-anak macam pemain bola Piala Dunia beraksi di stadium.

“Anak-anak tahu apa.”
“Main. Makan. Tidur.”
“Bahagia anak. Bahagia aku. Walaupun semakin bertambah anak bawa rezeki.”
“Rezeki di mana-mana. Dalam sampah pun ada rezeki.”

BAU masam, bau hancing, bau bacin semakin keras menusuk lubang hidung. Secalit pun tidak mematahkan semangat berapi-api. Hidung Lijah tercacak seperti hidung anak mami masih kembang kempis.

Lijah bukan keseorangan. Anjing-kucing-tikus berlumba-lumba memugah sisa makanan mengisi perut kerempeng. Menyodok tulang-temulang, cebisan roti hatta nasi basi.

Kerap kaki Lijah terpijak tikus sebesar lengan. Berdecit dihempap kaki kematu. Putih muka Lijah. Berhamburan air liur. Kumat-kamit mulut menyeranah tikus-tikus bertempiaran simpang-perinang.

Jidat Lijah tidak lagi berkerut. Mulut Lijah pun tidak menyumpah seranah lagi. Kehadiran haiwan di tempat pembuangan sampah tidak lagi dipedulikan.
“Kau pun macam aku. Berkelana cari rezeki.”

“Aku cari sampah. Jual. Dapat duit beli makan. Isi perut. Isi perut anak-anak.”

“Kau cari makanan isi perut. Kenyangkan perut anak-anak.”
“Di mana-mana rezeki. Rezeki kurniaan-Nya. Dalam sampah pun ada rezeki.” Redup mata Lijah memandang mata hijau kuning ibu. Teman setia sejak menghuni medan sampah itu.

Lijah tahu ibu sayang anak. Acap kali mulut ibu penuh tulang ayam. Susup-sasap masuk bangunan kosong. Bulat mata ibu. Pandang kiri kanan. Terpontang-panting ibu bawa makanan dalam mulut.

Dalam diam Lijah ikut.

Dari lubang melangkah keluar satu satu tubuh kecil. Berlumba-lumba. Comot-comot mendekati ibu. Berebut-rebut anak-anak pulun rezeki dibawa ibu. Habis ditelan. Ibu jilat bibir. Anak jilat bibir. Ibu jatuhkan badan. Anak-anak kemut puting ibu. Ibu jilat muka. Jilat badan. Jilat punggung anak-anak.
“Aku tahu kau pun sayangkan anak-anak”

Bunyi tapak kaki mengejutkan Lijah. Berderap-derap bunyi langkah. Tiga empat lima berhenti. Lijah mencangkung. Macam tunggul kayu.

Dari celah besi roda basikal Lijah nampak pasangan pucuk muda berjalan arah timbunan sampah-sarap. Teruna di depan. Terkengkang-kengkang dara di belakang macam sakit burut.

“Buang situ”.
“Campak jauh-jauh”
“Cepat-cepat.”

Lijah nampak dua bungkusan dilempar. Bedebub. Betul-betul jatuh dalam timbunan kertas. Bersesak-sesak pasangan muda beredar. Bunyi enjin motosikal penuh medan sampah.

Lijah bangun.

“Rezeki lagi.”

“Entah-entah barang berharga” Tangan Lijah ligat. Tali rafia mengikat dua plastik hitam dilerai. Tergolek benda dalam bungkusan. Baju kuning. Baju merah. Lembik. Basah. Berlendir. Berbintat-bintat perut, tangan, kaki. Lebam-lebam tubuh kudus berlilit tali pusat terpaku di retina

“Ya Tuhan. Bayi kembar.” Terjelepuk Lijah. Pecah empangan air mata membanjiri medan tempat pembuangan sampah. Wajah pucat bayi bergentayangan. Wajah comot anak bergentayangan. Kasih Lijah semakin menebal. Kasih Lijah semakin kejap walaupun anak-anak di rumah, cuma haiwan berkaki empat.

Biodata

HAMIDAH Kamaruddin lahir di Bentong, Pahang. Berpengalaman 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan penyuntingan. Menyertai akhbar The New Straits Times sebagai pemberita kadet pada 1981. Mula menulis genre cerpen dan novel selepas menyertai bengkel Kepezi 2002. Cinta Penyerahan Tragedi novel sulung ditulis bersama-sama sasterawan Zaharah Nawawi pada 2003. Kini menyiapkan beberapa manuskrip novel untuk penerbitan sendiri.

Advertisements

Cerpen: Aroma Arabica di Alhambra

Cerpen: Aroma Arabica di Alhambra
Oleh Ranofla Dianti Irwan

2010/07/31


LAPAN ratus tahun bukannya jangka waktu yang singkat. Berabad lamanya. Berkurun lamanya. Adakah kita akan menangisi kekhilafan pemimpin lampau waima kekhilafan diri sendiri kerana ia bisa menghancurkan keagungan sebuah empayar. Hannah termenung pilu. Memerhatikan perilaku kenalannya, Wira yang galak mengambil gambar dari pelbagai sudut pandangan lensa kamera Nixon milik jejaka itu. Panorama nan cukup panoramik istana Alhamra yang berada di hadapan matanya yang bundar itu tidak sedikit pun membuatkan dirinya teruja dengan gelagat Wira.

Gadis mungil itu memerhatikan keluasan Alhamra. Kubu yang dahulunya begitu gagah dan ditakuti seteru kini begitu hambar buat dirinya. Kubu yang dahulunya begitu ditakuti lawan kini begitu sepi dirasainya. Alhamra begitu agung di puncak kegemilangan sebuah empayar akhirnya tersembam parah di muka bumi sebuah tamadun kala Bani al-Ahmar tidak bisa lagi memperjuangkan kegagahannya.

Alhamra tidak lagi warna merah yang menyala garang. Alhamra tidak lagi gagah bagaikan singa mengaum. Alhamra bertukar wajah dari merah yang membahang kepada warna merah titisan darah. Merah Alhamra di akhir kegemilangannya adalah merah titisan darah para kesatria. Seni bina bangsa Moor ini umpama disimbah darah yang pekat dan likat kala ia terus berjuang mempertahankan keagungannya.

Wira memandang Hannah sepintas lalu. Pemuda itu sedar gadis mungil itu sedang berada di dalam alam yang diciptakannya. Dia hanya membiarkan Hannah terus meneroka alam di antara batas realiti dan fantasi yang kini mendominasi mindanya. Kanvas imaginasi Hannah bagaikan suatu magis kerana dia terus berhalusinasi di sekitar Alhamra.

Hannah menyentuh lembut binaan Alhamra. Dia terpaku dengan tembok serta batu-batu yang masih berwarna merah yang digunakan untuk membina Alhamra. Dia memandang ke angkasa. Kirmizi yang membiru membuatkan Hannah terus tersenyum ke arahnya. Awan stratatus seakan membentuk kerosang berfigura lavender memberikan satu impak realiti yang membataskan Hannah untuk terus berfantasi di alam magis yang direkanya.

Tiga belas buah jumlahnya, menara yang dibina di dalam kawasan yang memagari Alhamra. Dinding itu begitu kukuh. Dari risalah yang dibaca oleh gadis mungil itu, dinding Alhamra ini melingkungi kawasan seluas 14 hektar dan ia merupakan sebuah istana yang cukup indah. Alhamra yang dikelilingi pelbagai spesis flora yang berwarna-warni begitu indah dirasainya.

“Benarkah ia sebuah taman seakan syurgaloka?” bisik hatinya.
“Dan Alhamra juga adalah kubu terakhir bangsa Moor dalam penentangan mereka terhadap kemaraan tentera Kristian di Eropah.” Wira bersuara berkongsi info dengannya.

“Lihat … Court of the Lions. Air pancutnya begitu masyhur.” Wira ingin menawan keintelektualannya untuk berdiskusi dengan Hannah.

“Lima singa yang gagah. Lima singa yang garang. Mungkin dalam bahasa muda-mudi kini juga disebut gempak. Ya … Lima ekor singa yang gempak.” Mereka tertawa girang.

Hannah tertawa manja dengan gurauan Wira. Lantas dia menyentuh kelima-lima singa yang gagah, garang dan gempak itu. Ukiran plaster berbentuk daun yang menghiasi dinding dan siling Alhambra memukau taakulan retina matanya.

Hebat … hebat …. hebat. Hannah berbisik dalam hati kecilnya. Juga binaan lima singa itu masih utuh walaupun telah dimamah usia.

“Ya …Terlalu hebat. Puncak Gunung Sierra Nevada sedang memerhatikan seorang gadis yang sedang berfantasi”. Wira seakan menyindir Hannah.

“Wahai gadis adakah kau percaya bahawa dahulunya air pancut yang keluar dari kelima-lima mulut singa ini mempunyai konotasinya yang tersendiri tentang keutuhan serta lambang keagungan sebuah agama.”

“Maksudmu?” Hannah terpinga-pinga menantikan ulasan yang seterusnya. Wira menakung air dari salah satu Court of the Lions dari telapak tangan kanannya.

Pemuda itu inginkan suasana yang senggang dan santai antara dirinya dan gadis mungil itu. Dia tidak mahu melihat Hannah terlalu tertekan untuk menginginkan satu jawapan yang tepat lagi tepat untuk mencari satu formula menyelesaikan satu resolusi. Dirembeskan air yang ditakungnya itu. Mereka tertawa dan Hannah cuba menyelamatkan dirinya daripada terkena titisan air yang dirembeskan oleh Wira. Dia berlari di sekeliling Court of the Lions untuk menyelamatkan dirinya.

Hannah berhenti selepas dia menemui satu jawapan dari sudut pandangan vertikal Court of the Lions. Salah satu wajah singa itu seakan merenung wajahnya. Kehijauan puncak Gunung Sierra Nevada menghadirkan satu ceritera di antara dirinya dengan salah seekor singa itu.

“Mengapa”? Wira bertanya kehairanan.

“Aku merasai satu dejavu.” Ringkas jawapan dari ulas bibirnya.

Court of the Lions adalah penentu waktu dan jangkamasa penanda solat. Dari sudut pembacaanku, mereka mengatakan bahawa bila tiba waktu Isyak, Subuh, Lohor atau Zohor, Asar dan seterusnya Maghrib, air pancut itu akan mengalir dari mulut Court of the Lions. Mungkin juga salah satu singa ini mewakili setiap waktu dan kala waktu solat itu tiba, air itu akan memancut keluar dengan tenang. Dingin dan patuh bila azan bergema dan berkumandang. Dan mungkin juga inilah caranya Court of the Lions ini berzikir tanda keagungan terhadap Ilahi dengan mengalirkan air yang suci dan bersih bila tiba waktu solat dan para jemaah bisa berwuduk dari air yang mengalir ini. Bukankah ini satu teknologi yang maha hebat yang diilhamkan oleh Yang Maha Kuasa kepada pencipta Court of the Lions ini. Dan penciptanya ialah bangsa yang mengagungkan kebesaran Ilahi yakni satu bangsa yang beragama Islam.

Tetapi apabila soldadu Kristian yang diketuai oleh Raja Kristian Sepanyol iaitu Ferdinand dan Ratu Isabella menawan Alhamra, mereka menghapuskan segala yang punya identiti yang bernama Islam. Court of the Lions telah diuji kaji dan menjadi bahan eksperimen untuk mencari satu resolusi dan akhirnya air pancut itu tidak dapat lagi mengalir kala tiba waktu bersolat. Dan ia terus mengalir tanpa henti sehingga kini. Betapa dahsyatnya mereka menghakis sebuah ketamadunan yang unggul. Mungkin juga air pancut yang terus mengalir ini tanda kedukaan Court of the Lions kerana bangsa Moor tidak dapat menumpaskan kemaraan Ferdinand dan Isabella dan sehingga kini lima ekor singa itu terus menangis dan menangis.

Ya … menangisi keruntuhan sebuah empayar Islam yang unggul selama 800 tahun di Alhamra. Malah, lima ekor singa ini juga meratapi pelbagai jenis kezaliman yang tercipta setelah terhakisnya tiang sebuah puncak ketamadunan Islam yang begitu unggul di bumi Eropah ini. Begitu sadisnya pengakhiran era sebuah empayar daripada puak Bani al-Ahmar yakni Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella.

“Aku pernah membaca sebuah artikel yang mengatakan bahawa untuk memusnahkan sebuah peradaban, kita harus menghakis identiti bangsa itu menerusi bahasanya”. Benarkah begitu. Hannah memandang tepat ke arah wajah Wira tanpa sebarang kerlipan.

Wira menganggukan kepalanya tanda memanterai satu persetujuan. Tiba-tiba pemuda itu juga telah dibawa oleh Hannah untuk meneroka realiti sebuah dunia fantasi menerusi taakualan mindanya. Dia cuba mengingati sebuah fakta dari akhbar yag pernah dibacanya. Ya … Bekas Canselor Universiti Chicago yang bernama Robert M Hutchins dalam mukadimah The Great Books of Western World pernah mengatakan bahawa: Seseorang itu tidak dikatakan terpelajar melainkan dia cukup mesra dengan karya agung tradisi bangsanya.

Sangat menarik untuk dibicarakan. Bagi pemuda ini kenyataan tokoh ini nampaknya begitu mudah, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Malah ia adalah satu beban yang maha dahsyat untuk dilaksanakan dalam sistem pendirikan hari ini.

Mengapa ya …? Mungkin kealphaan untuk mengisi ruang pengajaran dan pembelajaran yang terus mendominasikan teknologi maklumat seiring dengan pemodenan sebuah bangsa dan negara, mereka terus melupakan bahasa dan sastera bangsa mereka. Tidak sekelumit pun rasa bersalah bertakhta di sanubari mereka kala mereka mengatakan bahasa dan sastera itu tidak relevan untuk diguna pakai dalam pemodenan menuju ke arah globalisasi sebuah bangsa. Mereka terus mengagungkan bahasa dan budaya bangsa asing. Ya …bangsa yang pernah menjajah mereka. Mereka masih lagi dijajah dan laungan merdeka yang disambut saban tahun hanya laungan sia-sia sahaja kerana isme kolonialisme masih tersemat utuh dalam jiwa mereka. Bertamadunkah mereka jika mereka tidak menghargai bahasa, sastera dan budaya bangsa mereka sendiri?

“Tetapi tidak modenkah sebuah bangsa dan negara itu jika mereka menyintai karya agung mereka yaksi bahasa dan sastera. Terlalu kolotkah jika ia menjadi tunjang utama dalam sistem pengajian rendah dan menengah mahupun pengajian tinggi pada zaman melenium ini.” Hannah menyuarakan ketidakpuasaan hatinya terhadap beberapa sistem yang dicipta oleh manusia yang kadangkala tidak masuk akal dan inilah langkah permulaan untuk menghakis identiti sebuah bangsa itu.

Wira hanya terdiam. Wajah Alhamra yang tidak lagi pekat simbahan cat merahnya seakan tersenyum ke arahnya. Rimbunan bunga-bungaan yang mekar di sebuah sudut Court of the Lions begitu mendamaikan. Tetapi warna violet lavender itu direnungnya penuh keasyikan. Momentum apakah yang dirasainya kini? Hannah seorang kenalan yang banyak mempersoalkan sesuatu persoalan terhadap dirinya di hadapan Alhamra ini mencetuskan satu misteri buat dirinya. Mekar indah lavender yang disukai oleh Hannah, kini disukai juga oleh seorang jejaka yang macho seperti dirinya. Adakah dirinya kini mempunyai kesempurnaan iman kerana punya sifat belas lantas kasih pada diri gadis mungil itu? Atau ini satu perasaan yang indah dan sukar ditafsir seperti yang dicipta oleh Ilahi terhadap kewujudan Adam dan Hawa?

Aroma Arabica dari pinggir Alhamra menghentikan perjalanan fantasi Wira dalam dunia realiti ini. Dengan menghirup secawan Arabica mungkin dapat merehatkan ruang fantasi seakan filem The Matriks yang mendominasi ruang fikirnya. Arabica yang tumbuh segar dan melata di negara Semenanjung Arab ini terutamanya di Yemen dan Sudan berabad lamanya dan telah melangkaui usia 1000 tahun bagaikan sebuah teka-teki . Aromanya yang unik serta rasa pekat biji kopi yang dipanggang secara tradisional mungkin dapat memulihkan kadar pH di dalam badan.

Dan kebuntuan mencari serta merungkai pelbagai persoalan teori dan resolusi dapat diselesaikan sesudah menghirup secawan Arabica.

Warna hitam pekat serta aroma yang harum dari secawan Arabica di sebuah kafe di pinggir Alhamra begitu nikmat dan mendamaikan. Nikmat itu tidak dapat diperkatakan dengan rantaian kata-kata. Hebat zat abstrak nikmat sebuah rasa yang diberikan oleh Ilahi terhadap manusia. Apakah metafora yang sesuai untuk diperkatakan kala menghirup secawan kopi Arabica di pinggir Alhamra ini?

Gelagat Hannah yang tekun memerhatikan gelagat remaja lelaki dan perempuan yang berhadapan meja mereka kala menghirup Arabica membuatkan Wira tersenyum. Dari gaya mereka yang terdiri dari dua lelaki dan tiga perempuan itu menunjukkan bahawa mereka adalah sekumpulan siswa dan siswa dan tidak diketahui pula dari Universiti mana. Kelihatan mereka seperti berbangsa Tionghua. Tetapi gaya perbualan mereka yang lebih senang menggunakan bahasa Indonesia yang lancar tanpa ada pelat dan cacat-celanya membuatkan Wira juga tergamam kala memandang mereka.

“Saya bangga dengan keupayaan mereka berbicara menggunakan bahasa Indonesia kala berbicara. Saya juga bangga punya talian darah Indonesia dari Umi yang mewakili saya. Situasi ini juga pernah saya saksikan di kafe-kafe sekitar kawasan Sunway Pyramid dan Pavillion. Mereka adalah bangsa Indonesia walaupun berketurunan Tionghua. Tetapi saya hairan. Jika mereka yang bukan bangsa Melayu ini bisa berbicara menggunakan bahasa Indonesia dengan fasih, mengapa bangsa Melayu yang kononnya mempunyai gaya hidup yang moden lagi urban sukar untuk saya saksikan mereka berbicara menggunakan bahasa Melayu yang sempurna seperti mereka yang punya warganegara Indonesia ini, tetapi berketurunan Tionghua”. Hannah menyatakan sudut kehairanannya dalam satu autopsi sebuah jati diri bangsa terhadap bahasa.

“Kadang-kadang kepingin untuk melihat warganegara Malaysia yang berbangsa Tionghua ini kala mengisi ruang senggang mereka di kafe-kafe seperti di Mid-Valley atau di KLCC berbicara sesama mereka menggunakan bahasa Melayu seperti anak-anak Tionghua yang punya warganegara Indonesia itu. Terlalu sukarkah untuk merealisasikannya?” Hannah menyoal Wira bagaikan seorang ejen FBI yang inginkan segala maklumat dalam satu masa. Begitu tegas dan kadang-kala seakan ejen Mossat pula. Wira tersenyum sendirian.

“Tapi Melayu baharu dan urban itu juga lebih bergaya berbicara menggunakan bahasa Inggeris yang bercampur-aduk dengan pelbagai bahasa dan bahasa itu tidak tahu dinamakan sebagai apa ya. Tidak bahasa creol mahupun bahasa pijin. Lebih baik saya makan rojak daripada menggunakan bahasa rojak.” Hannah berlawak manja sambil menghirup nikmat Arabica dengan ditemani suasana yang dingin hasil dari tiupan puput bayu dari pinggir Alhamra.

“Kadangkala penciptaan sistem oleh manusia itu membuatkan sistem yang sedia ada lebih kucar-kacir daripada memantapkan sistem tersebut.”

“Saya cukup bersetuju.” Celah Hannah sambil menghirup Arabica entah kali ke berapa.

Wajarlah di benua Amerika Selatan majoriti masyarakatnya menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi. Hebat gaya koloniolisme dan imperialisme bangsa Sepanyol memartabatkan bahasanya hingga ke benua Amerika Selatan sehingga kini. Tetapi amat menyedihkan kerana ada segelintir manusia yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya dan segala peradaban itu terlupus dan hancur bersama bahasa yang mengindahkan sebuah peradaban.

Kilauan Alhambra yang diserikan dengan sinar mentari jingga dari pinggir kafe itu seakan ingin bersuara. Terlalu banyak rahsia yang perlu dirungkai dan diketahui oleh gadis mungil itu di sebalik warna merah pudar Alhambra yang kadang-kala mengundang ceritera gothik yang tidak mungkin melenyapkan rasa ingin tahunya terhadap keunggulan sebuah peradaban yang telah sirna.

Profil

Ranofla Dianti Irwan, mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 1999. Pendidikan awal dari Akademi Seni Kebangsaan, kini dikenali sebagai ASWARA dalam bidang Penulisan Kreatif. Seterusnya Sarjana Muda BA (Linguistik) dan Sarjana MA (Pendidikan). Pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa 1999, Hadiah Sastera Utusan Public-Bank 2000 dan 2001 kategori cerpen. Bertugas sebagai Guru Bahasa Melayu di Nexus International School, Putrajaya untuk program IGCSE dan IB.

Cerpen: Adapun Adanya 2

Cerpen: Adapun Adanya 2
Oleh Zainal Rashid Ahmad

2010/10/02


NESCAYA kami terkejut benar, sebaik sada mendapat tahu, sejarah kecurian atau laporan kehilangan pelbagai benda dan barangan dalam rumah ini – bukanlah sesuatu perkara baru!

Tujuh tahun pula, bukanlah satu tempoh masa yang panjang pun – meskipun senarai kehilangan pemilikan dalam rumah ini sangat panjang dan banyaklah pula akan jumlahnya. Barangan pertama yang dicatat akan jenisnya dan dicartakan pula lokasi duduknya serta diwartakan pula akan nilai pasarannya – mula disahkan hilang pada waktu tengah hari – ditempatkan di ruang tamu utama – bernilai sekitar RM1.75 juta ringgit.

“Ya … candelier,” kata Sang Penyiasat yang diupah untuk menyediakan laporan menyeluruh mengenai kes ini.

Tentulah kami terkejut, kerana dua perkara utama yang dimaklumkan berikutan kes kehilangan pertama itu. Yang mengejutkan adalah nilai sejarah yang dimaklumkan dalam laporan siasatan:

Candelier ini dilaporkan hilang buat pertama kali pada 1899 … milik Sir Hugh Clifford – dicuri dari kediaman mewahnya sebagai Residen Britisih di Pahang.

Buatan klasik dari dari Nantes. Perancis – dipercayai dibeli oleh seorang saudagar Inggeris dalam satu majlis pelelongan gelap di London pada 1851 – dan setelah melalui pelbagai tangan pemilik barangan antik, akhirnya pada 1884, sampai ke tangan sang saudagar Sir Vic Maclarren, lalu dihadiahkan kepada Hugh Clifford sebagai tanda mata persahabatan, sebelum Residen itu berangkat ke Tanah Melayu.

“Ketika bangkit pemberontakan menentang Residen itu,” kata Sang Penyiasat: “Seorang babu keturunan India yang bekerja di rumah itu, telah menyeludup candelier itu keluar dari rumah Residen, lalu diberikan seorang Cikgu Wan Saadon – dan kemudian dijual secara pasar gelap oleh seorang ejen Cina yang bersimpati kepada perjuangan anti-British.”
Nescaya terkejutlah kami – kerana susur-galur sejarah candelier ini bukan sembarangan juga kisahnya. Perjalanan barangan antik yang menempuh pelbagai tempoh waktu – meniti dari tangan ke tangan – berada dari satu tempat ke satu tempat, dan akhirnya lenyap pula.

“Sang peniaga Cina, membawa candelier ini ke Bangkok, lalu dijual kepada seorang hartawan Siam dengan nilai pertukaran 25 pucuk senapang,” kata Sang Penyiasat lagi.

Dingdong-dingdong – dan begitu panjangnya penceritaan sang penyiasat perihal perjalanan candelier antik ini, bermula pula dari tahun kehilangan di rumah Residen Pahang pada 1905 – hingga dijual di Bangkok pada 1907 – sebelum dibeli semula pada 1974, dalam lelongan terbuka di Singapura – terasa jeranlah pula kami mendengarnya.

Jadi bertambah berserabutlah kepala yang sekangkang ingatan ini, tatkala Sang Penyiasat menceritakan pula:

“Ketika High Clifford kembali ke Tanah Melayu sebagai Pesuruhjaya Tinggi British pada 1927, dia menubuhkan satu unit perisikan untuk menjejak semula candelier ini … tetapi sampai tahun terakhir perkhidmatannya … 1930 – misinya gagal.”

Tak terdayalah kepala dan otak nan sekangkang ini untuk mengingati semua perincian maklumat Sang Perisik – kecuali keterangan maklumat penghujungnya; yakni, pada 1974 – candelier yang bersalut 1000 karat emas dan bertatah 444 berlian Afrika ini, disahkan berada di banglo mewah sebagai barangan antik yang dibeli secara sah melalui lelongan yang sahlah juga.

Dibeli dan dimiliknegarakan melalui satu petisyen khas berhubung kepentingannya terhadap sejarah perjuangan bangsa – era menentang penjajahan British.

2
PENYIASAT kami orangnya tinggi lampai dan agak tegap – berusia awal 40-an – berkulit cerah – dan dalam penilaian kami dapatlah disimpulkan sebagai – sangat kacak dan berwibawa akan perilaku dan tutur katanya.

Pernah membentangkan kertas kerja dan analisisnya – mengenai fenomena kecurian dan transmisi barangan berharga, hingga ke forum dan seminar berkelas antarabangsa. Malah kata satu sumber, dia pernah cuba dipinang oleh 10 Down Street, untuk membantu MI 5 British bagi tugasan menjejak pergerakan asal-usul uranium yang dibawa masuk Iran, serta salasilah ilmu yang diperoleh Tehran dalam menghasilkan pengayaan bahan senjata itu.

“Cuma … tiada siapa pun yang dapat mengesahkan, sama ada dia pernah menerima atau melaksanakan misi itu,” kata orang yang kami utus khas untuk membawa penyiasat itu ke banglo kami, bagi menyelesaikan misteri kehilangan candelier ini.

3
MUKADIMAH paling sesuai untuk memperkenalkan banglo kami, barangkali beginilah adanya: tempat tinggal sekumpulan manusia yang hidup dengan tanggungjawab melindungi apa jua nama, apa jua benda dan apa jua nilai yang bersangkut-paut dengannya.

Kami tidak pernah mengira jumlah isi nyawa penghuninya – tapi kami maklum, banglo berkeluasan 60 x 70 meter persegi ini dibangunkan di kawasan seluar 0.8 hektar – berias taman dan tasik, namun tidak berpagar.

“Kenapa?” Pernah kami ditanya Sang Penyiasat yang agak janggal dengan isu ketiadaan pagar ini.

Kami menjawabnya dengan terang dan mudah: “Demi ketelusan, tuan.”

Sang Penyiasat menganggukkan kepada, tetapi matanya sedikit berpinau; sesekali berkedip-kedip tanpa cahaya.

Maka dek keraguan itu, kami menerangkan lagi: “Kami melaksanakan amanah bangsa dalam menjaga segala pusaka terlihat, segala harta tersurat dan segala nilai yang tersirat … maka adalah wajar kami tidak menembukkan banglo ini, hingga timbul persangkaan dan persyakkan umum ….”

4
777 kes kehilangan barangan dilaporkan dalam tempoh tujuh tahun. Itulah wabak permasalahan besar yang mengedukan kami semua, kerana bukan saja nilai barang dan taksiran harta menggambarkan kerugian yang dialami; tetapi pada hemat kami, jauh lebih berharga dari itu, ialah angka kes yang besar telah meranapkan maruah kami, sebagai penjaga amanah itu.

“Pada saya, apa yang terjadi sangat memalukan,” kata Sang Penyiasat.

Kami terkedu lagi, tetapi tanpa mempedulikan perasaan kami, Sang Penyiasat berhujah lagi: “Tujuh tahun ….” katanya, “dan 777 kes kehilangan, membuktikan, anda semua tidak layak langsung … untuk dipercayai dan diberikan amanah ini!”

Wah … malunya kami!

5
SETEMPAYAN emas berisi syiling purba hasilan perak – almari mahagoni abad ke-11, tempat tersimpannya tujuh kalung emas, juga tujuh tiara dengan tatahan tujuh rantaian zamrud di kelilingnya serta tujuh bilah keris purba warisan tujuh pahlawan bangsa dari tujuh Kerajaan Melayu lama serta tujuh kitab salasilah bangsa yang dikarang tujuh ulama perantau yang datang dari tujuh kerajaan asing dan bermastautin pula di bawah daulat tujuh Raja Melayu antara khazanah yang turut dilaporkan hilang.

Hilangnya tujuh bilah keris lama – serta lenyapnya tujuh kitab salasilah bangsa, sesuatu yang amat menghinakan diri. Bagi kami, walaupun harga pasaran kedua-kedua jenis barangan ini jauh lebih rendah daripada nilai barangan kemasan, tetapi nilai maruah dan sejarah bangsa, yang tersela dan disisip rapi di sebalik corak ukiran pamor demi pamor, dan ceritera demi ceritera al-kitab – sangat besar ertinya pada ketertiban sahsiah bangsa.

“Keris Tulang Orang Derhaka dibawa balik dari Belanda, keris Kala Senja Laksamana Mengamuk ditemui orang di China … manakala Anak Sula Pantang Berundur, dibeli oleh seorang tokoh perniagaan Melayu setelah menemui keris itu dalam majlis lelongan di London,” kata Sang Penyiasat.

Kami sedia maklum akan periwayatan tujuh bilah keris itu, malah termasuk sejarah pemiliknya, sejarah tempurnya – malah juga sejarah bagaimana keris-keris milik tujuh pahlawan Melayu pernah terlepas dari genggaman milik bangsa.

“Mujur ada wira-wira bangsa kita yang sanggup menjejaknya,” kata Sang Penyiasat, tetapi diakhirinya cakapnya itu dengan ulasan yang menyindir:

“Tetapi anda semua menghilangkannya dengan cara yang cukup memalukan!”
Aduh! Kami berasa sangat terhiris, malah terhina amat.

“Kalaulah saya orang yang dititah untuk melantik anda semua, pasti dari awal lagi saya syaratkan – sebarang kecuaian terhadap penjagaan warisan ini, akan dihukum sebagai penderhaka bangsa!” kata Sang Penyiasat sambil memandang kami dengan lintang mata yang tajam.

Nescaya saat itu, maka terhempuk jatuhlah maruah kami ke lantai; pecah berburai, bagai kaca berderai … hancur berkecai.

6
“MEMALUKAN!” Jerit Si Penjaga Pintu.

Di ruang tamu banglo kami – ruang yang dulunya sarat-barat dengan segala macam jenis barangan – termasuk almari mahagoni abad ke-17, yang pernah menjadi antara hiasan kamar tidur utama di Kota Larangan serta di ruang tamu ini juga – kami sering terpana melihat hiasan tujuh tiara bertatah berlian Afrika, serta segala macam koleksi tanduk, tapak kaki dan kepala serta kulit binatang buruan yang terkumpul dari seantero dunia; menjadi tempat kami melepaskan amarah, akibat rasa terhina, dek sindiran Sang Penyiasat.

“Kita harus segera mencari, siapa pencuri segala khazanah jagaan kita ini,” kata Penjaga Pintu – wajahnya nampak gusar dan gelisah, sepanjang hari itu.
Si Penjaga Bilik Utama pula, duduk di lantai – dek tiada lagi bangku maupun kerusi – semuanya sudah dikebas pergi. Si tua yang dulunya pernah menjadi bentara penjaga peti kewangan negeri itu, terlihat melunjurkan kaki dan bersandar di tiang seri, jari-jarinya mengeletak di muka lantai yang mulai berdanur, tanda lama benar tidak dibersihkan.

“Pencuri yang menyangak semua khazanah ini … tentulah sudah kaya-raya. Kita hamba papa kedana inilah juga, yang kena menanggung beban najis malunya,” rungut Si Penjaga Stor, sambil menghela nafas panjang.

Si Penjaga Balkoni pula menyampuk: “Pencuri tempayan emas, akan sama kaya dengan pencuri kandiliar… aku baru saja menjeguk laman web koleksi antik, harga pasaran gelap tempayan emas dan wang perak itu kini mencecah RM2 juta.”

Seusai sahaja dia bersuara, maka bertunda-tundalah setiap seorang menyebut barang demi barang yang hilang serta harga demi harga bagi pasaran gelapnya. Sebahagian antara kami berasa lega – kerana waktu berghairah begitu, Sang Penyiasat sudah lama pergi meninggalkan banglo ini.

7
Sang Penyiasat pergi tanpa pernah kembali lagi. Ada di antara kami berasa sangat sedih, kerana si pintar itu enggan membantu; malah membiarkan kami meratap akan kehilangan segala macam barangan yang kami cintai.

Namun, sebahagian besar penghuni banglo ini – nampak sangat gembira, dengan lesapnya Sang Penyiasat itu.

“Bongkak!” Kata Si Penjaga Pintu. “Macamlah dia tahu semua – sengaja mencela-cela kita sesuka hatinya!”

Si Penjaga Bilik Istiadat sambil tersenyum berkata: “Dia ingat dia cerdik – konon dapat menjejak ke mana lesapnya segala harta yang hilang, akhirnya habuk pun tak ada … kita membayarnya untuk upah menceceh saja.”

Tetapi bagi kami yang menyimpan harapan untuk memiliki semua semua khazanah bangsa yang amat bernilai itu, kemunculan Sang Penyiasat amat kami nantikan.

“Manalah tahu … satu hari nanti, dia datang lagi – membongkar semua kecelaruan di sini!” Entah siapa pula yang bersuara itu.

PROFIL

Zainal Rashid Ahmad dilahirkan di Alor Setar pada 30 Jun 1967. Mula menulis pada 1990 dan lebih 200 cerpen tersiar dipelbagai penerbitan. Memenangi lebih daripada 30 hadiah sastera anjuran pelbagai pihak termasuk 13 hadiah sastera Kumpulan Utusan Kategori Cerpen. Pada 1994, memulakan kerjaya sebagai wartawan dan mengembara dalam tugasan ke Israel, Palestin, Afghanistan, Ethopia, Lebanon dan Kosovo. Kebanyakan liputan berkaitan krisis peperangan dan kemanusiaan. Pernah memenangi hadiah Majalah TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa (Tragedi Tak Bai 2004), Dokumentari Terbaik PPF (Kembara Palestin 2007), Anugerah Media Pertahanan (Lubnan Darah Di Bumi Merdeka 2007). Kini bertugas sebagai Pengurus Besar Penerbitan di TV Al-Hijrah.

Cerpen: Laskar Syuhada

Cerpen: Laskar Syuhada
Oleh Fudzail

2010/10/23


(1)

KEEMPAT-EMPAT mereka bernafas kelegaan sebaik memboloskan diri dari terowong sepanjang 640 meter. Salah satu dari lebih 800 terowong di sempadan Rafah dan Gaza, terowong yang memisahkan dua dunia. Dalamnya empat meter, lebar satu meter, tinggi mencecah dua meter, cukup-cukup untuk memuatkan seorang demi seorang. Berjalan dalam kegelapan. Meraba-raba, terkadang, teraba punggung orang di depan. Berjalan perlahan, bernafas dalam kekurangan oksigen. Dalam dada berdebaran.

Apa sahaja boleh terjadi, termasuk pengeboman daripada serangan udara tentera Israel.

Datuk Ariffin terduduk dalam bangsal, mencari oksigen, meraba mencari rokok, tetapi teringat sudah berada pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga yang lain, Datuk Rusdi, Datuk Mushil dan Datuk Imran sama terduduk di atas pasir. Awal subuh dan suhu masih rendah memberi kenyamanan dalam debaran jantung yang terus kencang.
“Fasa pertama misi sudah selesai!”

Mereka mengangguk. Menyeludup masuk ke Gaza mempunyai risiko besar. Tetapi destinasi itu bukan kebetulan. Mereka tahu dan tidak peduli. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Tiada jalan kembali.

Datuk Ariffin bangkit melihat keluar bangsal, memastikan tiada kelibat pihak penguatkuasa Palestin, apalagi tentera dan perisik Israel yang menjejak. Mata liar mencari petunjuk seperti yang telah dirancang. Ternampak sebuah kereta kuning cair parkir dalam 30 meter.
“Kenderaan yang ditempah sudah menanti!”

Mereka bergegas mengambil beg, berlari anak ke kereta.

“Kata laluan!” Pemandu berkumis, berkaca mata hitam bertanya.
“Angelina Jolie!”

Pemandu mengangguk sambil mata merenung wajah keempat mereka yang cuba kelihatan tenang. Cuba untuk menjadi macho dan hebat.

(2)

PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.

“Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!”

Yasir, pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.

“Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!”

Yasir menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.

“Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!”

Suara Yasir mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.

Datuk Ariffin, Datuk Imran, Datuk Rusdi dan Datuk Mushil mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.

“Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?” Yasir bertanya.

“Paling lama dalam dua minggu!” Jawab Datuk Mushil.

“Tidak menyambut Syawal di sini?”

“Kalau ada rezeki, mahu juga!” Datuk Imran pula menjawab.

“OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!”

Yasir mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.

(3)

MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, ‘pelawat’ dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.

Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.

“Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!”

Datuk Rusdi mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.

“Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!”

Sambung Datuk Mushil sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Mushil selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.

“Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!”

Datuk Ariffin mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Ariffin yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.

“Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!” Datuk Imran melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Imran selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Imran yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.

Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.

Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.

(4)

“KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!”
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Yasir walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Yasir yang tiba-tiba terasa menyegarkan.

“Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!”

Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.

“Sebab itukah kamu memandu berbahaya,” Tanya Datuk Ariffin yang sejak lama mahu menegur cara Yasir memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Yasir bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.

Yasir ketawa.

“Ya! Saya ada lesen ke jannah!”

“Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!”

Ujar Datuk Rusdi diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.

“Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?”

Tanya Yasir kembali, setelah lima hari, Yasir sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.

Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.

“Kamu ahli politik bukan?” Tanya Yasir kepada Datuk Ariffin yang mengangguk.

“Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!”

Tersentuh hati Datuk Ariffin yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.

“Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!”

Yasir terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.

“Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!”

Yasir memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.

“Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?”

Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana ‘keselamatan negara Israel’ lebih penting daripada segalanya.

“Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!”

Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.

“Kalian mahu mati syahid bukan?”

Tanya Yasir. Separuh serius, separuh berjenaka.

“Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?”

Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.

“Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!”
Yasir memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.

Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.

Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.

Tiba-tiba Datuk Ariffin terasa mual oleh perut memulas, Datuk Mushil pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Rusdi basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Imran seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!

PROFIL

FUDZAIL berkelulusan sains komputer dan matematik dari New Zealand, pernah menjadi Pengurus Teknologi Maklumat TV3 dan ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini menjadi konsultan kepada syarikat dari China, Turki, Hungary dan Perancis di Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Kumpulan puisi “Waikato’ diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2001 dan kumpulan cerpen Dotkomania (DBP: 2009) dan trilogi Aotearoa (Oasisbuku: 2010). Mengikuti misi kemanusiaan di Gaza pada Ramadan lalu. Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com.

SEJARAH: Sebelum Proton, Harga Kereta Sekitar RM20 Ribu

SEJARAH: Sebelum Proton, Harga Kereta Sekitar RM20 Ribu

Tulang Besi menaqal sebuah artikel THE STAR bertarikh March 2, 1985 di mana ia memetik CEO Proton yang pertama, Tan Sri Jamil Mohammad Jan:

However, Tan Sri Jamil said the price of the Saga would be competitive, He said it would probably be cheaper than it’s direct competition in the 1300-1600cc range, the Nissan Sunny and the Toyota Corolla which currently retails at around RM20,000″ TERJEMAHAN:Walaubagaimanapun, Tan Sri Jamil (CEO pertama PROTON) berkata Saga akan dijual dengan harga pasaran dan ia akan lebih murah dari saingan terdekat di dalam kategori 1300-1600cc, yakni Nissan Sunny dan Toyota Corolla yang berharga sekitar RM20,000 sebuah”

Di atas adalah keratan akhbar sejurus selepas PROTON dilancarkan. Apa yang berlaku selepas itu adalah PROTON tidak laku walaupun di Malaysia. PROTON sedang menuju bangkrupsi dan kilang Proton hampir ditutup selamanya.

Apa yang Mahathir dan UMNO buat adalah memperkenalkan kenaikan duti import yang begitu tinggi kepada semua kereta import.

Untuk menanggung kerugian Proton, harga Proton telah dinaikkan berkali2 ganda sehingga Proton Wira yang baru harganya lebih kurang RM65-70 ribu sebuah.

Harga kereta import yang lain, naik lebih tinggi.

Jadilah harga kereta di Malaysia lebih mahal dari harga rumah. Ini adalah kerja gila yang diperkenalkan oleh Mahataik dan UMNO bertujuan mendera rakyat.

Deraan ke atas rakyat adalah semata-mata mahu menjayakan idea gila Mahatir kerana beliau mahukan sebuah kereta Nasional. Padahal Malaysia tidak sesuai untuk ada program kereta nasional.

Bila projek kereta Nasional hampir bangkrap, Mahathir dan UMNO naikkan cukai semua kereta menjadikan rakyat Malaysia terhimpit dengan hutang yang sebegitu besar semata-mata kerana mahukan kenderaan.

Wang negara yang banyak dibelanjakan untuk membuat jalan yang kemudiannya dikutip tol. Padahal jalan-jalan raya yang banyak ini tidak perlu sekiranya wang negara dibelanjakan secukupnya untuk pengangkutan awam i.e. LRT, MRT dan bas seperti di Singapura.

Bayangkan, sepatutnya sebijik kereta seperti PRoton sekarang ini sepatutnya dalam julat RM30-35k sebuah. Bayaran bulanan kereta tidak sepatutnya melebihi RM150 sebulan. Sepatutnya belanja kenderaan sebulan sekali dgn minyak dan insurans tidak boleh melebihi RM350. Itupun RM 350 sudah dikira mahal.

Sekarang ini, kita terpaksa membayar RM500-RM1000 untuk sebuah kereta yang tidak mewah dan tidak pula hebat. Kalau mahu kereta hebat, terpaksa bayar sekitar RM1500-RM2000 sebulan. Belum lagi minyak, insuran, road tax, mantenance. Bayangkan skrg ni spare parts pun kena duit import yang begitu tinggi. Spare parts Proton pulak harganya setaraf dgn harga BMW kalau takda duti import.

Terima kasih kepada UMNO kerana telah mendera rakyat Malaysia sehingga terpaksa menanggung hutang pribadi yang banyak demi mahu memenuhi keperluan berkenderaan kerana pengangkutan awam di Malaysia adalah antara yang terburuk di dunia.

Marilah kita kenang jasa BN yang telah menghimpit rakyat Malaysia dengan beban hutang yang banyak akibat kesombongan dan kebongkakan mereka yang mahukan projek kereta nasional walaupun telah diberitahu projek ini akan gagal.

HIDUP UMNO!!! HIDUP BN!!!!jijik!!jijik!!!

GEmpak…

GEmpak…

Cuba anda lihat betul-betul…

 

 

 

 

 

TENGOK BETOL BETOL….

FOKUSSS….

DAH HAMPIR

MAKIN DEKAT…MAKIN SASPEN….

APE BENDA NIH?

DEKAT LAGI!

LAGIIIIIII…….

ALAMAK TAKOT NYE

OOO SESUMPAH RUPANYE

 

Dialog Rasulullah SAW Dengan Iblis Laknatullah

Soalan Nabi s.a.w “Siapa yang mencahayakan muka engkau ?”
Jawab Iblis “Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji.”

Soalan Nabi s.a.w “Apakah rahsia engkau kepada umatku ?”
Jawab Iblis “Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan NAJISNYA sendiri ke badannya tanpa dia sedari”

Soalan Nabi s.a.w “Jika umatku bersatu dengan isterinya,bagaimana hal engkau ?” Jawab Iblis “Jika Umat Tuan hendak bersetubuh dengan isterinya Serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya.

Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa membaca Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang.”

Soalan Nabi s.a.w “Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau ?”

Jawab Iblis “Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya.”

Soalan Nabi s.a.w “Siapakah orang yang paling engkau lebih suka ?”
Jawab Iblis “Lelaki dan perempuan ! yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari (bulu kemaluan) selama 40 hari.
Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu.”

Soalan Nabi s.a.w “Hai Iblis ! Siapa pula yang bersekutu dan bersekedudukan dengan engkau ?”
Jawab Iblis “Iaitu apabila bertemu lelaki dengan perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu, hamba hiaskan mukanya dengan jelingan dan senyuman yang menarik hati. Apabila dipandang belakangnya maka terpandang lehernya yang halus dengan pinggang dan punggung yang bergerak-gerak yang membangkitkan nafsu.

Manakala di pandang depannya, hamba hiaskan dadanya dengan bergerak-gerak kedua kuntum yang melekat pada dadanya, lalu hamba panah pada jantung hati keduanya atau salah satu daripadanya hingga bergerak-gerak keinginan nafsu syahwatnya. Apabila orang tersebut tidak memelihara hatinya, nescaya tidak terpeliharalah farajnya (kemaluannya). Sesiapa yang tidak memelihara kemaluannya nescaya tiadalah terpelihara imannya”.

Soalan Nabi s.a.w “Hai Iblis ! Dimana tempat engkau diam ?”
Jawab Iblis “Iaitu pada rumah-rumah berhala dan pada batu, Kayu dsb. Apabila mereka menyembah selain daripada Allah, maka hamba cenderungkan hati mereka supaya bertambah yakin pada perbuatan yang syirik. Berapa ramai umat tuan yang telah hamba pesongkan masuk ke rumah berhala Majusi dan Hindu itu menunjukkan bertapa nipisnya iman mereka”

Soalan Nabi s.a.w “Hai Iblis ! Siapakah yang menyokong engkau ?”
Jawab Iblis “Iaitu orang yang tidak bertaubat dan suka Ketawa ketika berbuat dosa itu. Ya Nabi Allah ! Sesungguhnya telah hamba binasakan sekelian manusia dengan mengerjakan dosa daripada pelbagai maksiat, maka betapa sukanya hamba, tiba-tiba mereka itu mengucap La Illahillah dan istighfar maka binasalah hamba dengan sebab ucapannyanya itu”

“Lagi satu keuntungan yang besar kepada hamba ialah orang tua dan kanak-kanak yang bersiul itulah anak buah hamba, kerana pada masa hamba dibuang ke dunia hamba mengembara dengan bersiul-siul dan orang yang bersiul itu penghibur Iblis Syaitan”

Soalan Nabi s.a.w “Hai Iblis ! Sekarang apakah kesudahan ikhtiar Engkau di atas umatku, kerana Aku telah dibangkitkan ke dunia ini Bagi menyelamatkan sekelian bani Adam daripada kafir kepada iman, dari gelap-gelita kepada terang-benderang”
Maka Iblis pun mengangkatkan kepalanya ke hadrat Allah katanya “Ya Rabbi, demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba Akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menarik sekelian Anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat. Selama ada nyawa di Dalam batang tubuh mereka itu, hamba jadikan pemuda-pemudi bercampur Berkenalan supaya senanglah hamba mencelah di dalamnya”

Maka firman Allah SWT :

“Hai Malaun (yang dilaknat – Iblis)! Demi kebesaran Ku dan ketinggian Ku ! Bahawa Aku sentiasa sedia Mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu meminta ampun kepada Ku”.

Maka kata Iblis “Ya Rasulullah ! Bahawasanya hamba sangat hairan Melihat dua macam hal sekelian hamba Allah.

1. Mereka itu mengaku kasih kepada Allah padahal mereka itu Taat kepada hamba dengan berbuat maksiat
2. Mereka sangat marah kepada hamba tetapi mereka itu mengikut hasutanku.

Maka datang firman Allah “Hai Malaun ! Demi kemuliaanKu Dan kebesaranKu, Aku anugerahkan atas umat Muhammad dua kebahagiaan;

Kasih mereka kepadaKu, Aku jadikan kaffah (penebus dosa) bagi Maksiat mereka kerana perdayaan mereka Marah mereka kepada engkau (IBLIS) Aku jadikan kaffah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kepadaKu”

Setelah itu Rasulullah SAW pun menghalau Iblis. Iblis pergi Dengan hati yang sangat duakcita kerana tipu dayanya telah diketahui Oleh umat Muhammad SAW.